Skip to main content

GSLS 2024 ISTANBUL MELABUHKAN TIRAI : PEMBENTANG USM GONDOL ANUGERAH PERAK

ISTANBUL, 10 September 2024 - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui pemimpin pelajar Majlis Penghuni Desasiswanya berjaya memperolehi Anugerah Perak (Silver Award) iaitu kedua terbaik bagi pembentangan kertas kerja sempena Global Student Leadership Summit (GSLS) 2024 yang berlangsung di Istanbul University.

Menerusi tajuk kertas kerja, Faktor dan Kesan Kekurangan Pemimpin Pelajar Yang Berkualiti Pada Masa Hadapan, barisan pelajar dan pegawai iaitu Yang Dipertua Desasiswa Tekun, Muhammad Airul Afzan Bin Azlan; Yang Dipertua Desasiswa Aman Damai merangkap Pengerusi Majlis Yang Dipertua Penghuni Desasiswa, Muhammad Nifail Rifqi Bin Rosli; dan Pengerusi Sekretariat Pelajar Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti-Universiti Malaysia merangkap penghuni Desasiswa Cahaya Gemilang Harapan, Muhammad Arif Bin Esa dengan barisan Pegawai Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Encik Zulkifli Bin Che Hussin dan Encik Hafiz Meah Bin Ghouse Meah.

Kertas kerja ini menunjukkan bahawa Pemimpin pelajar merupakan suatu entiti yang tidak asing lagi dalam kehidupan seorang pelajar di dalam dunia pendidikan khususnya di universiti.

Selain itu, kepimpinan juga merupakan satu elemen penting untuk diterapkan dan digilap dalam diri seorang pelajar.

Bagi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, Profesor Dr. Shaharum Shamsuddin, kejayaan ini merupakan salah satu contoh dan suri teladan buat semua bahawa pemimpin pelajar di peringkat majlis penghuni desasiswa mampu untuk mengecapi kejayaan setinggi ini di peringkat antarabangsa.

Terdahulu, Majlis Perasmian Penutupan Program Global Student Leadership Summit 2024 (GSLS ’24) telah disempurnakan oleh YBrs. Pn. Mardiah binti Sabri Konsul/ Ketua Canselori, Pejabat Konsul Genaral Malaysia di Istanbul, Turkiye, Kementerian Luar Negeri Malaysia.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran YBrs. En. Hirman bin Awang, Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi yang merupakan wakil rasmi Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, YBrs. Prof. Dr. Aden Esen, Dekan Fakulti Sains Politik,Universiti Istanbul Turki dan YBrs. Prof. Dr. Shaharum bin Shamsuddin Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni) merangkap Pengerusi Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti- Universiti Malaysia (MAKLUM).

Selain itu, hadir sama ialah YBhg. Prof. Madya Dr. Mohd Suzeren Md Jamil, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM & Pengerusi TTNC HEPA UA Malaysia, Cik Puteri Khairunnissaq binti Mat Lazim, Pengarah Eksekutif GSLS 24, wakil kementerian, wakil -wakil Universiti Istanbul, barisan pengurusan tertinggi Universiti Awam yang terdiri daripada Timbalan Naib Canselor HEP/HEPA, Pendaftar, Pengarah-pengarah, pegawai-pegawai kanan universiti, sekretariat-sekretariat serta yang diraikan mahasiswa IPT tempatan dan antarabangsa yang menyertai.

Penganjuran Global Student Leadership Summit 2024 (GSLS ’24) adalah dengan kerjasama Majlis Kepimpinan dan Latihan Universiti-Universiti Malaysia (MAKLUM), Yayasan Perkasa Siswa dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT).

Program ini yang dirangka bermula dari 7 hingga 14 September 2024 telah menghimpunkan 213 delegasi iaitu seramai 85 pembentang (mahasiswa tempatan dan antarabangsa) serta 50 peserta daripada luar negara.
Objektif utama penganjuran program ini ialah bagi memberi pendedahan kepada pelajar UA menonjolkan bakat kepimpinan dan pembangunan pelajar di peringkat antarabangsa.

Pelbagai rangkuman aktiviti GSLS 2024 telah disusun sepanjang tempoh ini iaitu sesi forum oleh panel-panel jemputan, sesi pembentangan kertas kerja, sesi Dialog Kepimpinan, dan sesi Jelajah Kampus yang berjalan lancar dan mencapai objektif utama penganjuran program ini. Semoga dapat memberikan manfaat kepada semua peserta yang telah menyertai.