Skip to main content

G1

SANTUNAN IFTAR : INISIATIF KEBAJIKAN BHEPA SUMBANG 400 PEK MAKANAN PERCUMA GEMBIRAKAN PELAJAR

USM, PULAU PINANG 6 Mac 2026 – Bulan Ramadan hadir membawa sinar keberkatan, menyemarakkan nilai ihsan, keprihatinan dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kampus. Dalam suasana yang sarat dengan roh kemanusiaan ini, kebajikan mahasiswa terus menjadi keutamaan, khususnya mereka yang kekal berada di kampus sepanjang cuti semester dan jauh daripada keluarga tercinta.

Unit Kebajikan, Pinjaman, Biasiswa & Anugerah – OKU & Siswa Sulung Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni telah menganjurkan program Nur Ramadan 2026 : Sedikit Tanda Ingatan, Banyak Tanda Ada pada 5 dan 6 Mac 2026 di Desasiswa Tekun dan Pejabat Pentadbiran BHEPA H20.

Program edaran iftar 400 pek makanan kepada pelajar dan warga kampus sebagai manifestasi keprihatinan, sokongan komuniti universiti dan kebersamaan dalam menyemarakkan roh Ramadan.

Disempurnakan oleh Prof. Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni USM bersama Encik Shukeri A. Rahaman, Timbalan Pendaftar Kanan BHEPA USM, Wan Ahmad Jaafar merakamkan penghargaan dan terima kasih atas inisiatif ini dan menyifatkan program tersebut sebagai manifestasi kebajikan yang amat bermakna dan seiring dengan aspirasi universiti untuk terus menjaga kesejahteraan mahasiswa.

Usaha ini digerakkan bagi mengurangkan beban kewangan serta kos sara hidup pelajar dan warga kampus yang berada di kampus sepanjang cuti semester. Program ini amat signifikan khususnya kepada pelajar Penginapan Masa Cuti (PMC) yang tidak pulang ke kampung atas pelbagai kekangan, sekali gus memastikan tiada mahasiswa yang terpinggir daripada sokongan komuniti kampus.

Teks/foto: Unit Media dan Penerbitan BHEPA